Sudah puas saya berfikir.
Manusia mana yang tidak ada langsung tanggungjawab?
Saya lihat tidak ada manusia yang hidup tanpa tanggungjawab
melainkan orang tersebut telah hilang kewarasan akalnya untuk berfikir.
Kalau seseorang itu tidak memegang apa - apa jawatan
sekalipun,dia tetap mempunyai tanggungjawab sebagai hamba Allah S.W.T.
Itu Kerja Ketua Bukan Aku.
Jawatan
Apabila saya sebut perkataan ini,baru saya sedar yang
manusia suka sangat mengaitkan tanggungjawab dengan jawatan. Apabila tiada
jawatan,maka dia merasakan bahawa dia tidak ada tanggungjawab dan terlepas dari
segala beban kerja.
Betulkah?
Bagi saya,saya akan menyatakan bahawa itu adalah satu
fahaman yang silap.
Kita Semua Kena Jadi Ketua.
“Anda semua perlu jadi ketua.”
Terngiang kata - kata Cikgu Fadzil yang agak ringkas tapi
bagi saya ia membutirkan makna yang cukup mendalam. Kata-kata tersebut saya dapat
ketika pertama kali saya dilantik menjadi Ketua Umum Asrama di bangku sekolah
dulu.
Apa yang saya faham,walaupun kita bukan pengetua,kita perlu
ada rasa tanggungjawab seperti pengetua dalam menjaga urusan sekolah atau
asrama. Bukan bermaksud kita mengambil alih tugas pengetua tetapi kita perlu
peka,ambil berat,kasih dan sayang sebagaimana kebiasaan setiap pengetua
terhadap sekolahnya.
Saya merasakan bahawa konsep tanggungjawab itu sangat
penting.
Bukanlah jawatan kita yang menentukan tanggungjawab kita.
Hakikatnya,kita semua berkongsi tanggungjawab yang sama.
Kita kena sedar,tujuan jawatan itu diwujudkan adalah untuk
pembahagian tugas sahaja tetapi kita semua tetap sama.
Atas dasar itu, Rasulullah SAW memperingatkan kita agar
memelihara dan bertanggungjawab ke atas setiap amanah yang dipikul setiap
manusia sebagaimana sabdanya yang bermaksud:
“Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan ditanya
mengenai kepimpinannya. Imam (Ketua Negara) adalah pemimpin dan akan ditanya
mengenai kepimpinannya, Suami (bapa) adalah pemimpin dan akan ditanya mengenai
kepimpinannya, Wanita pemimpin di rumah suaminya dan akan ditanya mengenai
kepimpinannya, Orang gaji adalah pemimpin kepada harta benda yang diamanahkan
kepadanya dan dia akan ditanya mengenai kepimpinannya. Tiap-tiap kamu adalah
pemimpin dan kamu akan ditanya mengenai kepimpinan kamu.”
( Riwayat al-Bukhari
dan Muslim)
Bangunkan Tanggungjawab Dalam Jiwa.
Mari kita duduk sebentar bermuhasabah diri.
Kita perlu merasakan bahawa diri kita yang akan
dipertanggungjawabkan. Bukan sekadar meletakkan beban keatas orang lain tetapi
segalanya perlu bermula dari diri kita sendiri.
Kita sebagai pelajar tidak akan mampu menjadi direktor
universiti semasa kita sedang belajar. Apa yang perlu kita buat ialah menjaga
tempat kita belajar dengan segala kemampuan yang kita ada bersama dengan
tanggungjawab.
Kita sebagai rakyat biasa tidak akan mampu menjadi Perdana
Menteri semasa kita menjadi rakyat biasa. Apa yang mampu kita lakukan ialah
menjaga diri dan fikiran kita dari dijajah semula dengan penuh rasa
tanggungjawab.
Apatahlagi untuk Islam.Amat mustahil kita menjadi
Rasul.Tetapi kita mestilah mencintai,mempunyai keinginan untuk menyebarkan
dakwah dan mempertahankannya sebagaimana Rasulullah S.A.W telah tunjukkan
teladan kepada kita dalam kehidupan Baginda.
Bangkitlah!
Hidupkan rasa tanggungjawab dalam jiwa kita.
Setiap masa.Setiap tempat.Dimana jua anda berada.
Tidak kira siapa kita dan apa jua jawatan kita.
Sedarlah kita semua adalah PEMIMPIN.
" Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada
malaikat: "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di
bumi". Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan
berkata): "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu
orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan),
padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?" Tuhan
berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya"
(Al-Baqarah 2:30)
Hassriq Hafize b Abdul Halim Hafiz
EXCO PEMBANGUNAN INSANIAH & PERPADUAN
|
No comments:
Post a Comment