Saturday 27 October 2012

Jauhi gejala kehancuran (LGBT)




Gejala Gay kini melanda dunia apabila mereka memperjuangkan hak mereka untuk mendapatkan pengesahan pernikahan haram mereka.







Ketika  ini hangat diperkatakan mengenai berleluasanya gejala atau penyakit sosial yang cukup berbahaya kepada masyarakat di negara ini iaitu lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT). Budaya songsang ini bukan saja ditentang Islam dan agama lain, malah bertentangan dengan norma masyarakat di negara ini serta Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan bahawa Islam adalah agama Persekutuan yang perlu dihormati dan dihayati.

LGBT secara umum adalah hubungan sejenis yang tidak mengenal batasan agama, budaya dan cara hidup. Masing-masing memilih untuk lebih menggemari pasangan sejenis sama ada lelaki atau perempuan atau kedua-duanya sekali dan termasuk mereka yang menggemari pasangan sejenis yang telah menukar jantina hakikinya. Ini membuktikan bahawa LGBT adalah selera seks yang sangat pelik, bahaya dan di luar tabii yang perlu dikekang sebelum menjadi barah kepada keharmonian hidup bermasyarakat yang normal di negara ini.

Malah, Malaysia sebagai negara Islam yang begitu dihormati dan disegani akan tercalar imej sekiranya barah baru masyarakat ini tidak dibanteras sejak awal lagi serta ditangani secara bijaksana. Ini kerana perbuatan yang melampaui batas ini boleh memberi kesan negatif dan padah yang besar kepada semua sekiranya perkara yang sangat kritikal ini tidak diberi perhatian sewajarnya memandangkan budaya ini boleh merosakkan jati diri, mental, agama, emosi, psikologi, zuriat, sistem nilai serta akal dan budi.

Budaya dan penyakit sosial ini jika dibiarkan tanpa tindakan akan membuka lebih banyak ruang kepada hubungan seks rambang yang tidak terkawal, tiada pertanggungjawaban, penyebaran nilai-nilai yang tidak bersopan, pornografi, mengagungkan seks serta penyebaran pelbagai jenis penyakit kelamin berbahaya yang menakutkan.Kajian saintifik banyak pihak di Barat memberi amaran bahawa hubungan homoseksual dan biseksual boleh menghancurkan masyarakat dan negara jika tidak ditangani sewajarnya.

Oleh itu, adalah ditegaskan sebarang usaha dan penganjuran apa jua program seperti Seksualiti Merdeka atau seumpamanya adalah bertentangan dengan prinsip akhlak dalam Islam dan fitrah kemanusiaan sejagat. Program Seksualiti Merdeka yang cuba diadakan baru-baru ini kononnya memperjuangkan kesamarataan dalam pengamalan seks dan menentang diskriminasi ke atas golongan LGBT atau turut dikenali LGBTIQ (lesbian, gay, biseksual, transeksual, interseksual and queer).


Seluruh lapisan masyarakat perlu menginsafi bahawa usaha untuk menyebarkan amalan seks yang bertentangan dengan fitrah kemanusiaan ini akan membawa kepada kemusnahan individu, masyarakat dan negara. Allah s.w.t telah mengingatkan manusia supaya menjauhi amalan seks yang melampaui batas ini melalui firman-Nya dalam surah Al-A’raaf, ayat 80–81 yang bermaksud:

“Dan (Kami mengutus) Nabi Lut, ketika dia berkata kepada kaumnya, mengapa kamu melakukan perbuatan keji yang belum pernah dilakukan oleh seorang pun sebelum kamu (di dunia ini). Sungguh, kamu telah melempiaskan syahwatmu kepada sesama lelaki bukan kepada perempuan. Kamu benar-benar kaum yang melampaui batas.”

LGBT atau LGBTIQ jika tidak dikawal mampu meruntuhkan sistem kekeluargaan dalam masyarakat di negara ini dan boleh melemahkan jati diri seseorang apabila sanggup memilih pasangan sejenis sebagai teman hidup, teman untuk berkasih sayang dan memadu asmara sehingga di Barat sudah ada yang berkahwin dan berumahtangga dengan pasangan sejenis. Hak inilah yang sedang dituntut di seluruh dunia dan jika berjaya, ranaplah institusi keluarga yang menjadi ejen perluasan zuriat manusia di muka bumi ini. Biarpun begitu, ada yang bergelumang dalam budaya songsang dan kebebasan terlampau ini kerana kecelaruan identiti gender diri sendiri, desakan ekonomi sehingga menjadikannya sebagai sumber pendapatan melalui perkhidmatan seks kaum sejenis, malah tidak kurang juga memilih jalan keseronokan yang luar biasa dan luar tabii serta terlalu mengikut hawa nafsu dan bisikan syaitan yang tidak pernah penat menjahanamkan manusia. Namun, ada juga yang sekadar ingin mencuba sesuatu yang baru dan terpengaruh dengan gaya hidup bebas rakan sebaya serta masyarakat Barat.

Sehubungan itu, orang ramai termasuk badan agama, institusi masyarakat, sistem pendidikan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu mendekati dan menyelami masalah golongan lesbian, gay, biseksual, transeksual, interseksual dan queer ini bagi mendidik mereka meninggalkan perbuatan keji dan terkutuk berkenaan dan bukannya menyokong aktiviti haram tersebut. Golongan ini juga perlu ditingkatkan keyakinan diri mereka serta diperbetulkan kecelaruan identiti gender, diperingatkan bahaya dan kesan jangka panjang termasuk dari segi kesihatan sekiranya masih bertegas dengan prinsip dan perlakuan songsang mereka.

Semua pihak hendaklah sedaya upaya membantu mereka kembali kepada fitrah manusia. Ajaklah mereka menjalani kehidupan normal tanpa melakukan apa jua bentuk penganiayaan kepada golongan ini. Mereka perlu dibimbing kembali menjalani kehidupan lebih bermakna dan tidak tersisih daripada masyarakat melalui didikan agama yang mendalam, sokongan keluarga dan masyarakat, bantuan dari aspek psikologi, emosi dan lain-lain kepakaran berkaitan.




"Hai manusia, bertaqwalah kepada Tuhanmu yang telah menciptakan kamu dari seorang diri, dan daripadanya Allah menciptakan isterinya; dan dari keduanya Allah memperkembang-biakkan laki-laki dan perempuan yang banyak. Dan bertaqwalah kepada Allah yang dengan (mempergunakan) namaNya kamu saling meminta satu sama lain, dan (peliharalah) hubungan silaturrahim. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu."

-- An-Nisa': 1


2 comments: