Saturday 27 October 2012

PROGRAM SISWA SIHAT (PROSIS)


Oleh: Aina Amran



PROGRAM Sihat Siswi (PROSIS) yang julung-julung kalinya diadakan di KUIM telah berlangsung dengan jayanya pada 23 September 2012 bertempat di stadium KUIM tepat pada jam 8 hingga 11 pagi. Program ini turut dihadiri oleh Timb. Ketua Kesihatan Negeri Melaka yang mewakili Menteri Besar Melaka merangkap Canselor KUIM iaitu Dato’ Ali Rustam yang tidak dapat hadir di atas sebab-sebab tertentu. Malah, kehadiran pendaki solo Gunung Kinabalu yang telah mendaki gunung tersebut melebihi 100 kali turut memberi sokongan padu dengan menyertai program ini.

Menurut YDP MPM iaitu saudara Mohd Aliff Azrai bin Mat Zain, beliau melahirkan rasa puas hati dengan kerjasama yang diberikan oleh semua mahasiswa yang turut bersama-sama menjayakan program ini dan memuji tindakan mereka yang begitu bersemangat dalam usaha untuk merealisasikan objektif program ini. Namun, beliau meluahkan rasa kecewa di atas sambutan yang diberikan oleh mahasiswa kerana tidak sampai 50% pelajar yang mengambil bahagian dalam aktiviti ini. Beliau juga berharap agar aktiviti sebegini dapat diteruskan dan penekanan akan dibuat dari sudut promosi bagi menarik lebih ramai mahasiswa bagi menyertai program sebegini.

Manakala, Encik Iqbal selaku Penolong Pegawai Pendaftar KUIM menyatakan program sebegini amat baik dan diharap ianya dapat diteruskan pada masa akan datang. Namun, beliau agak terkilan dengan komitmen yang diberikan oleh mahasiswa yang terlibat kerana mereka dianggap tidak menepati masa. Hal ini berlaku apabila ramai mahasiswa yang datang ke program setelah Yang Behormat tiba. Keadaan sebegini turut disokong oleh Pn. Zaidah selaku Pegawai Pentadbir HEM. Beliau menganggap bahawa mahasiswa gagal dalam sudut menguruskan masa dengan baik sehinggakan keadaan ini mendapat teguran dari YB. Namun, beliau turut melahirkan rasa seronok dengan berlangsungnya program sebegini kerana dapat mengeratkan hubungan selain dapat bersenam untuk menyihatkan badan.

Para peserta yang terlibat juga berasa seronok dengan program yang diadakan, sepertimana kata salah seorang peserta iaitu Muhd. Aiman Syafiq dari Diploma Usuluddin. Beliau seronok kerana dapat berjalan bersama kawan-kawan dengan jumlah yang ramai dan ini menimbulkan rasa teruja kerana jarang berlaku di KUIM. Beliau menyertai program ini adalah untuk memberi sokongan kepada pihak pengurusan yang telah membuat program ini dan dengan harapan untuk menyihatkan badan. Pendapat yang sama turut dinyatakan oleh seorang lagi peserta iaitu Nadia dari DTM, dan beliau berharap agar program sebegini dapat diadakan lagi pada masa akan datang.

No comments:

Post a Comment